LISA MUDIANA MUDIN

Kita Sayang Awak Lisa, Forever. Jika Awak Sudi, Kita Ingin Mengambil Awak Jadi Ratu Hati Kita.

Thursday, March 09, 2006

Pesan Seorang Abang

Al kisah abang memberi ingat kepada adik.

Bismillahi Rahman Rahim

Wabihi Nastainu Billahi Ta'ala



Hakcipta terpelihara 2003 © Mohamed Yosri Mohamed Yong.


Dengarlah adik, abang berpesan
Jangan adik menurut perasaan
Pilih pasangan hendak fikirkan
Baik buruk harap bezakan

Dengarlah pesanan segala orang tua
Mengikut adat segala penggawa
Semoga hidup mudah ketawa
Agar dijauhi segala rawa

Jangan dipilih rupa semata
Atau dipandang kepada harta
Jangan tertipu pada kata
Lelaki sebegitu ramai di kota

Pilihlah yang dapat membantu diri
Semua lengkap lagi berseri
Kerana melihat sehari-hari
Nantikan jemu tidak terperi

Pilihlah mereka yang teguh imannya
Dapat membantu jika lalainya
Anak dididik sempurna segalanya
Ketua keluarga besar tanggungannya

Biarlah yang berilmu luas di dada
Fikiran sempurna semua ada
Tidak dungu, biolnya tiada
Kambing dilihat disangka kuda

Pilihlah yang mampu memberi pakai
Jangan dipilih terlalu pokai
Nantikan hidup seperti sakai
Adik hidup menanggung bangkai

Yang bengis pula jangan dipilih
Itu penyakit yang tidak pulih
Ada sahaja yang jadi dalih
Maki hamun tidak tersisih

Jangan dipilih terlalu melawak
Segala dilihat semua digelak
Masalah semua dia mengelak
Adik tersiksa nanti melalak

Terlalu cemburu jauhi diri
Nanti terlalu mengongkongkan diri
Ditanya ditengking sehari-hari
Siksa ditanggung tidak terperi

Anak yang besar jangan diambil
Segala ditanya terkebil-kebil
Segala perbuatan terlalu babil
Tidak terbayar segala bil

Pilih biar ada parasnya
Harta ada untuk tanggungannya
Keturunan mulia tiada aibnya
Ugama ada cukup lengkapnya

Yang paling baik ugama sempurna
Jadi pembimbing di dunia fana
Keluarga dibimbing cukup kena
Cakapnya penuh memberi makna

Hanya itu abang berpesan
Peringatan sebagai seorang insan
Semoga dapat memberi kesan
Hidup bahagia sentosa akan

Bukan mengata yang bukan-bukan
Nasihat ikhlas yang abang berikan
Kebahagian adik abang tekankan
Cemburu dan dengki minta jauhkan

Sekian sahaja penutup kata
Yang ditulis bukan betul semata
Kalau ada tersilap kata
Jangan pula dihina nista

Walau tidak terlihat di mata
Menjunjung kasih semata-mata
Ampuni segala rata-rata
Doa sentosa turut serta

Nasihat abang sudahlah tamat
Di dalam hati harap disemat
Mana yang baik diikut amat
9 Safar 1424 tamat


Tamatlah pesan seorang abang

0 Comments:

Post a Comment

<< Home